CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST)

Pendahuluan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri  Kewangan mengumumkan pelaksanaan GST bermula 1 April, 2015 pada kadar 6% dalam pembentangan Bajet 2013 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober 2013 lalu. Cukai barang dan perkhidmatan (GST) merupakan satu sistem percukaian adil kerana ia mengagihkan beban percukaian dalam kalangan kelompok penduduk secara lebih meluas berdasarkan jumlah penggunaan serta menetapkan jenis GST dan kuantum cukai yang perlu dibayar seseorang pengguna bagi barangan dan perkhidmatan yang digunakannya.

GST sistem cukai yang lebih telus

Ketika ini, negara terlalu bergantung pada cukai pendapatan individu dan badan korporat, lebih kurang 28 juta penduduk Malaysia sekarang, tidak sampai dua juta adalah pembayar cukai pendapatan. Sistem percukaian yang diperkenalkan ini lebih telus kerana pengguna mengetahui jenis cukai yang mereka bayar serta jumlahnya. Penduduk yang  berpendapatan rendah hanya membayar jumlah minimum, memandangkan mereka menggunakan barangan dan perkhidmatan perlu sahaja seperti makanan, pengangkutan dan pendidikan, yang mungkin sifar kadarnya dan pengguna tidak perlu membayar cukai tambahan. Cukai dikenakan terhadap mereka yang mampu berbelanja sahaja. Memandangkan golongan lebih berada dan kaya menggunakan lebih banyak barangan dan perkhidmatan, maka secara automatik, merekalah yang paling banyak dikenakan cukai di bawah GST, bukan golongan berpendapatan rendah.

GST Menjana pembangunan

Pelaksanaan GST, kerajaan akan memperoleh hasil mencukupi bagi menjana pertumbuhan dan membiayai lebih banyak projek pembangunan. Untuk membolehkan Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020, kerajaan perlu melakukan reformasi terhadap sistem percukaian sedia ada bagi memacu perniagaan dan pembangunan. Transformasi percukaian seperti memperkenalkan GST, mungkin mengundang banyak kritikan pada peringkat awalnya, namun dari segi ekonomi, ia merupakan suatu keputusan tepat. Bagaimanapun, kerajaan perlu menghalang kenaikan harga barangan bagi memastikan ia tidak membebankan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

Pakej bantuan GST

Pakej bantuan yang dirangka adalah tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM300 pada tahun pertama pelaksanaan GST, tambahan BR1M kepada RM650 bagi yang berpendapatan kurang RM3,000 dan BR1M sebanyak RM450 bagi yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM 4,000. 

Pelepasan Cukai

Bagi golongan berpendapatan sederhana iaitu pendapatan RM8,000 sebulan pula, mereka diberi pelepasan cukai antara satu hingga tiga peratus, sekali gus boleh mencatat penjimatan sehingga RM480, manakala bagi individu dengan pendapatan tahunan mencecah RM100,000 pula, penjimatan yang bakal diperoleh adalah RM1,950. Malaysia, yang dianggap sebuah negara maju di rantau ini, akan ketinggalan jika masih mengguna pakai sistem cukai sedia ada memandangkan Indonesia, Singapura, Kemboja dan Vietnam telah lama melaksanakan GST.    Pengguna harus sedar bahawa melalui pelaksanaan GST, harga sesuatu barangan dan perkhidmatan adalah rendah berbanding di bawah pelaksanaann sistem percukaian cukai sedia ada kerana ia mengelakkan cukai berganda.

Konsep nilai tambah

GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.

Hanya satu cukai dikenakan GST

Cukai jualan dan perkhidmatan akan dimansuhkan dan digantikan dengan dengan satu cukai sahaja yang dikenali sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).Kadar GST ditetapkan pada 6 peratus dan akan berkuat kuasa mulai 1 April, 2015.

Antara Faedah Pelaksanaan GST
  • Perkhidmatan pengangkutan seperti bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan daripada GST.
  • GST tidak dikenakan kepada barangan makanan asas, bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan pengguna domestik; perkhidmatan yang disediakan kerajaan seperti pengeluaran pasport dan lesen, persekolahan serta kesihatan.
  • Turut dikecualikan GST perkhidmatan pengangkutan, jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan terpilih.
  • Apabila GST dilaksanakan pada 2015, kerajaan akan beri bantuan tunai RM300 sekali bayar kepada penerima isi rumah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M); kadar cukai individu akan dikurangkan 1 hingga 3 mata peratusan; dan struktur cukai pendapatan individu disusun semula.
  • Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST akan diberi potongan cukai tambahan bagi tahun taksiran 2014 dan 2015.
  • Geran latihan RM100 juta akan disediakan kepada perniagaan yang menghantar kakitangan menjalani latihan GST pada 2013 dan 2014.
  • RM150 juta bantuan kewangan bagi PKS untuk membeli perisian perakaunan pada 2014 dan 2015.
  • Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST.
GST untuk Kesejahteraan Rakyat

Kerajaan menjalankan kajian mendalam dan komprehensif berkaitan rancangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi memastikan ia tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat. Kajian seumpama itu penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang mempunyai daya saing. Kerajaan telah membuat kajian mendalam, matlamat kita adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

160 negara laksana GST

Dalam kelompok negara ASEAN, selain Malaysia, hanya Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkan GST. Kerajaan menjangka pendapatan tahunan negara akan meningkat sebanyak RM1 bilion dalam tempoh masa setahun selepas GST diperkenalkan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.Sebanyak  160 negara di dunia melaksanakan GST kerana ia diiktiraf struktur percukaian baik, menyeluruh dan efisyen.

Kesimpulan

Pelaksanaan GST tepat pada masanya, sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. GST merupakan satu sistem percukaian yang menyeluruh, cekap dan komprehensif, yang mana ia dapat menjana pendapatan yang baik kepada negara, tapi pada masa yang sama, tidak membebankan rakyat. Dengan kadar enam peratus itu, negara akan memperoleh RM23 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama pelaksanaan GST, manakala dalam tempoh setahun pula ia akan mencecah RM32 bilion dan seterusnya mencatat sedikit lebihan apabila ditolak BR1M dan  pengurangan cukai kepada individu dan syarikat. Cadangan orang ramai supaya kerajaan mengeluarkan buku panduan harga yang menunjukkan perbezaan harga barangan dan perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan GST.