MBPerak

Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam Perak Amanjaya.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat ALLAH S.W.T. dengan limpah izin dan kurnia-Nya sebuah inisiatif baru Kerajaan Negeri Perak telah diperkenalkan bagi membantu serta memudahkan rakyat setempat mendapatkan perkhidmatan serta bantuan yang disediakan dengan cepat dan efisien. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada YB Dato’ Hj. Samsudin Bin Hj. Abu Hassan serta semua agensi dan yang terlibat dalam pelaksanaan Pusat Sumber Setempat ini.

Kerajaan Negeri berharap dengan wujudnya Pusat Sumber Setempat ini, masyarakat mempunyai pelbagai inisiatif untuk mendekati agensi-agensi kerajaan negeri seterusnya menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang ditawarkan. Selaras dengan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menjadikan seluruh pejabat penghulu  di Malaysia sebagai pusat aduan pengguna atau GST. Negeri Perak adalah yang pertama menggunakan sistem secara online untuk aduan pengguna.

InsyALLAH dengan kejayaan program di 13 Pejabat Penghulu ini, Kerajaan Negeri seterusnya akan melaksanakan di semua pejabat penghulu untuk fasa seterusnya.

Akhir kata, saya berharap dengan wujudnya Pusat Sumber Setempat ini, semua pihak mengambil peluang agar tempat ini digunakan dengan efektif serta memperkasakan Pejabat Penghulu sebagai platform yang paling dekat dengan masyarakat setempat. Saya berdoa agar rakyat hidup aman dan sejahtera. Sekian Terima Kasih

‘BERKHIDMAT UNTUK NEGARA’

(YAB Dato’ Seri DiRaja Dr.Zambry Abdul Kadir)
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan