Pendidikan mempunyai impak yang besar ke atas pelbagai peluang kehidupan manusia untuk memperolehi dan mengekalkan kualiti kehidupan. Pendidikan boleh menjelaskan keupayaan seseorang individu dalam mengurus hidup yang berkualiti kerana faktor ekonomi dan sosial bergantung kepada pendidikan yang diterima. Pendidikan berkualiti sangat efektif bagi menentang kemiskinan, membina demokrasi, dan membentuk masyarakat yang sejahtera. Ia juga memberi kuasa kepada individu, memberi mereka suara, mendedahkan potensi mereka, menunjukkan jalan ke arah penyempurnaan diri, serta meluaskan pandangan dan pemikiran individu kepada dunia tanpa sempadan. Melalui pendidikan, individu berupaya membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunianya, menikmati kemudahan yang ada dipersekitarannya, serta memahami diri sendiri. Pendidikan bertindak sebagai pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri, dan kestabilan hubungan sosial. Pendidikan yang berkualiti ini adalah satu konsep yang dinamik, berubah, dan berkembang mengikut masa serta berubah dalam konteks sosial, ekonomi, dan persekitaran setempat.